Monday, July 17, 2017

3.0 PERANAN MAHASISWA MEWUJUDKAN PERPADUAN DI ANTARA KAUM


PERANAN MAHASISWA MEWUJUDKAN PERPADUAN DI ANTARA KAUM

                Peranan yang perlu dipegang sebagai seorang pelajar seterusya sebagai seorang remaja ialah mereka sendiri menjadi suri teladan kepada rakan-rakan sebaya.Dalam hubungan ini, setiap remaja mestilah mengamalkan dan menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakan sebaya.Mereka mesti menunjukkan sikap saling menghormati rakan-rakan yang berbeza latar belakang budaya dan agama.Contohnya, remaja perlu menghormati amalan dan anutan agama rakan-rakan. Di samping itu mereka perlu mengelakkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang sensitif dan dapat menaikkan kemarahan rakan-rakan dari bangsa dan agama yang lain. Setiap perselisihan pendapat hendaklah diatasi secara bijaksana dan berhemah, bak kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.Oleh yang demikian, remaja perlu menjadi suri teladan untuk memupuk semangat perpaduan.

  • Mengambil ikhtibar dari sejarah

                Selain itu, sebagai seorang pelajar dan remaja juga hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah negara.Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan.Sebagai contoh, tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ahli falsafah George Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama. Oleh itu, remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius. Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil iktibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Jadi remaja mestilah mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semagat perpaduan yang jitu.

  • Mengasimilasikan budaya
               
                Peranan yang berikutnya ialah sebagai seorang pelajar dan juga remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian.Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Contohnya, Kaum Melayu, Cina dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini. Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Pernan dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam dan seumpamanya. Mereka juga mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai kaum yang tersendiri.Untuk merasai kemeriahannya, remaja mestilah turut merayakan perayaan-perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas, bak kata pepatah masuk ladang kambing mengembek, masuk ladang kerbau menguak.Jelaslah, asimilasi budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan remaja di negara ini

  • Menjauhi sikap etnosentrisme

                Selanjutnya, sebagai seorang remaja dan pelajar juga hendaklah mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme.Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri. Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi di negara ini. Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang progresif.Mereka juga perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka.Contohnya, remaja tidak harus menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub dalam perlembagaan.Mereka hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jika semangat ini dapat diamalkan oleh semua remaja dan juga pelajar, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.
Golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.
Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka.

  • Berkomunikasi

                Pelajar juga digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran atau perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan etnik.
Walaubagaimanapun, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum.Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksankan projek-projek .

  •  Hendak-lah menghormati budaya dan setiap perayaan etnik yang lain

                Mahasiswa merupakan salah satu permata yang berharga buat negara kerana mereka adalah penyambung dan perjuang negara untuk masa hadapan. Sifat dan sikap hormat menghormati perlulah dipupuk dan disemai di dalam diri setiap mahasiswa tidak kira melayu, cina, india, kadazan, atau lain-lain kerana dengan sifat dan sikap ini kita dapat melahirkan semangat perpaduan kaum antara setiap etnik yang ada di Malaysia. Sehubugan dengan itu, dengan lahir-nya sifat dan sikap ini di dalam diri mahasiswa dapat menunjukan dan dapat kita lihat akan kematangan dalam berfikir mahasiswa-mahasiswa kerana hanya dengan perpaduan yang utuh dapat memajukan dan meningkatkan martabat negara atau bumi Malaysia ini.

No comments:

Post a Comment